|
Latar Belakang Tabika Perpaduan
Program Tabika Perpaduan (Taman Bimbingan Kanak-Kanak) anjuran Jabatan Perpaduan Negara merupakan program pendidikan prasekolah yang disediakan untuk penyertaan kanak-kanak berbilang kaum yang berumur dalam lingkungan 5 - 6 tahun.
Semenjak penubuhannya pada tahun 1976, kelas Tabika Perpaduan telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan dan sehingga Mac 2001, didapati bilangan kelas Tabika Perpaduan diseluruh negara ialah sebanyak 1195 buah kelas dengan bilangan penyertaan kanak-kanak berbagai kaum seramai 34,316 orang.
Tabika Perpaduan diwujudkan di taman-taman perumahan, kawasan perumahan pangsa, kawasan kampung dalam dan pinggir bandar terutamanya yang diliputi dengan Skim Rukun Tetangga. Pembukaannya tidak perlu didaftarkan dengan Jabatan Pendidikan mengikut Akta Pelajaran 1961 kerana dikecualikan melalui warta kerajaan P.U. (AO 276 bertarikh 15 September 1977).
Tabika ini menggunakan garis panduan prasekolah Malaysia yang disediakan oleh Pusat Perkembangan Kurikulum Kementerian Pendidikan dengan memasukkan elemen perpaduan di dalam perlaksanaan kurikulum. Dalam konteks perpaduan, program ini diharap dapat memupuk semangat perpaduan di peringkat kanak-kanak lagi serta kalangan ibu bapa setempat.
Di bawah program pembangunan khas Tabika Perpaduan, pihak jabatan telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM12,000.00 setiap kelas bertujuan untuk meningkatkan peralatan kemudahan mengajar termasuk pembelian peralatan komputer. Pada masa ini terdapat kelas-kelas Tabika Perpaduan yang telah dibekalkan dengan peralatan komputer yang dibeli melalui sumber peruntukan tersebut atau melalui sumbangan dari pihak wakil-wakil rakyat mahu pun pihak swasta.
|